Tangguh tahanan rumah adalah penderhakaan terhadap titah Agong- Asyraf

Tangguh tahanan rumah adalah penderhakaan terhadap titah Agong- Asyraf

PEMIMPIN UMNO menyifatkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak sebagai satu muslihat dan juga penderhakaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta semua pihak menghormati titah dan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah peruntukan perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Tuanku melalui Lembaga Pengampunan telah pun membuat keputusan dan menitahkan syarat-syarat yang telahpun dipenuhi.

“Apa keperluan untuk menangguhkan lagi perlaksanaan tahanan dalam rumah setelah pembayaran denda telah sempurna dilunaskan?

“Segala usaha untuk menangguhkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Lembaga Pengampunan adalah satu bentuk penderhakaan dan pencabulan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memaklumkan yang pihaknya terpaksa menangguhkan buat sementara waktu pelaksanaan tahanan rumah Najib selepas RM50 juta selesai dibayar.

Keputusan itu dibuat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.

Dalam kenyataan hari ini, AGC memaklumkan terdapat persoalan perundangan yang perlu diperhalusi sebelum pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib dapat diteruskan.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata muslihat demi muslihat digunakan bagi mencari derhaka.

“Muslihat demi muslihat yang digunakan mencari derhaka! Inilah negara kawboi!,” tulisnya di Facebook.