JABATAN Peguam Negara (AGC) membangkitkan bantahan terhadap Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia bagi mencabar perintah tahanan di rumah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kenyataan hari ini, AGC memaklumkan bantahan awal tersebut telah dikemukakan semasa pendengaran permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada 12 November lalu.
Menurut AGC, keputusan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali ke-64 di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah bersifat tidak boleh dicabar (non justiciable).
“Hujahan pihak-pihak akan didengar pada 17 Mac 2027. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil,” menurut kenyataan itu.
Permohonan semakan kehakiman ini difailkan oleh Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar) yang kini diterajui oleh Presidennya, Anand Raj.
Dari segi perundangan, pertikaian ini berpusat kepada tafsiran Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kuasa prerogatif kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.
Manakala, berdasarkan prinsip perlembagaan yang diguna pakai oleh AGC, kuasa budi bicara diraja yang dijalankan atas nasihat Lembaga Pengampunan ini tergolong dalam kategori non-justiciable—bermaksud ia berada di luar bidang kuasa mahkamah untuk disemak atau dibatalkan.
Isu pertikaian mengenai had bidang kuasa mahkamah terhadap keputusan Lembaga Pengampunan ini turut mengimbau kembali duluan undang-undang (legal precedent) dalam kes pengampunan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2018.
Dalam peristiwa tersebut, Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan telah memperkenankan pengampunan penuh di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kepada Anwar, yang sekali gus memadamkan sabitan serta hukuman penjara lima tahun beliau.
Keputusan pengampunan diraja itu pernah cuba dicabar di mahkamah oleh seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, pada tahun 2020 atas dakwaan proses persidangan Lembaga Pengampunan tersebut tidak mengikut perlembagaan.
Walau bagaimanapun, pada Januari 2023, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan tersebut dan mengekalkan pendirian bahawa kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah mutlak serta tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.




