KERAJAAN menghormati keputusan Turkiye yang tidak bersedia menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia seperti yang dicadangkan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Turkiye itu perlu dihormati memandangkan negara berkenaan sudah menanggung beban besar dengan menempatkan jutaan pelarian dari pelbagai negara.
Katanya, kenyataan yang dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini adalah berdasarkan keputusan kerajaan untuk mencari negara ketiga bagi penempatan pelarian berkenaan.
“TPM satu telah membuat kenyataan berdasarkan keputusan negara mencari tempat negara ketiga kerana kita boleh dan berupaya menampung begitu ramai pelarian (Rohingya).
“Jadi kita hormat keputusan Turkiye, apatah lagi kerana Turkiye telah mengambil jutaan orang pelarian yang ditampung oleh negara. Di antara negara yang paling banyak menampung pelarian di dunia adalah Turkiye,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang membangkitkan kenyataan media Ahmad Zahid berhubung isu pelarian berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu itu tidak perlu dipanjangkan memandangkan Malaysia menghormati pendirian Turkiye yang sudah memaklumkan ketidaksediaannya menerima pelarian terbabit.
Katanya, beliau menerima maklumat terbaharu daripada pihak Turkiye kira-kira dua malam lalu yang mengesahkan negara itu tidak bersedia menerima 10,000 pelarian Rohingya berkenaan.
Menurutnya, perkembangan itu turut dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, manakala perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.
Beliau berkata, Kementerian Luar juga sudah dimaklumkan mengenai pendirian terbaharu Turkiye bagi mengelakkan kekeliruan berhubung kesediaan negara itu menerima pelarian Rohingya.
Anwar menegaskan dasar kerajaan dalam menangani isu pelarian berkenaan kekal, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kesediaan negara yang dicadangkan sebagai destinasi penempatan




