A Samad Said meninggal dunia, Anwar rakam ucapan takziah

A Samad Said meninggal dunia, Anwar rakam ucapan takziah

SASTERAWAN Negara, Datuk Seri Dr A Samad Said, meninggal dunia pada jam 6.10 petang Selasa, ketika berusia 91 tahun.

Pemergian tokoh sastera yang mesra disapa Pak Samad itu disahkan anaknya, Helmy Abdul Samad menerusi hantaran di platform Threads.

“6.10. Innalillahiwainnailaihirojiun,” tulisnya ringkas dalam hantaran berkenaan.

Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada petang Isnin untuk mendapatkan rawatan akibat sakit tua selain menghidap diabetes.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook.

Anwar berkata, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan rasa hiba dan sayu atas kehilangan insan yang banyak berjasa kepada dunia kesusasteraan tanah air.

Menurutnya, menerusi novel Salina yang diterbitkan pada 1961, Pak Samad berjaya mendekatkan masyarakat kepada kehidupan insan yang sering tersisih, sekali gus mengajak pembaca memahami penderitaan dan memperjuangkan harapan golongan berkenaan.

“Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan,” katanya.

Anwar turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, segala dosanya diampunkan serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

Beliau juga mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.

Allahyarham menerima pengiktirafan sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985 dan meninggalkan legasi besar dalam dunia kesusasteraan Melayu menerusi penghasilan novel, puisi, cerpen, drama serta esei.

Selain Salina, antara karya terkenal beliau termasuk Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie.