PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan nasib rakyat mesti terus dibela dan martabat negara perlu diangkat, meskipun kepemimpinan seseorang Perdana Menteri silih berganti.
Penegasan itu disampaikan beliau sempena genap empat tahun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan menerima amanah menerajui negara hari ini.
Anwar berkata, tempoh empat tahun itu bukan perjalanan mudah kerana kerajaan terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi, kedudukan kewangan negara yang terbatas serta peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat.
Menurutnya, kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang telah lama berakar turut menuntut keberanian kerajaan untuk melaksanakan perubahan.
“Sejak hari pertama melangkah masuk ke Perdana Putra, tekad saya adalah untuk memulihkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat. Bukan suatu perjalanan yang mudah, tetapi amanah ini mesti terus digalas dengan penuh kesungguhan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, pelbagai usaha dilaksanakan bagi membina asas negara yang lebih kukuh termasuk memperkemas kedudukan kewangan, memperbaiki tatakelola serta menggerakkan reformasi institusi.
Katanya, kebajikan rakyat juga terus diperkukuh sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kemajuan negara dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, Anwar mengakui perjalanan kerajaan masih jauh dan banyak perkara perlu diusahakan, khususnya memastikan kehidupan setiap keluarga bertambah baik, sumber pendapatan lebih terjamin serta masa depan anak-anak lebih terbela.
Beliau yakin asas yang dibina sepanjang tempoh pentadbirannya mampu menjadi landasan untuk negara bergerak lebih jauh, selain membuka lebih banyak ruang dan peluang yang adil kepada rakyat.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan yang diberikan sepanjang beliau memegang amanah sebagai Perdana Menteri.
“Selagi diberi amanah ini, akan saya curahkan segala daya dan upaya demi rakyat dan negara yang saya cintai.
“Perdana Menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela, dan martabat negara mesti terus diangkat,” katanya.



