BARISAN Nasional (BN) menyerahkan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mengumumkan keputusan hasil pertemuan kepemimpinan parti itu dengan baginda hari ini, termasuk status Menteri Besar dan barisan Exco negeri.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersama kepemimpinan BN sudah mencapai persetujuan dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana tenang di Istana Hinggap.
Katanya, sebarang pengumuman rasmi berhubung keputusan itu akan dibuat pihak istana bagi memuktamadkan perkara yang dipersetujui bersama.
“Kami telah menghadap Tuanku dalam suasana yang tenang dan Tuanku akan membuat keputusan. Kita serahkan kepada pihak istana yang mengeluarkan kenyataan keputusan yang telah kami capai.
“Biarlah kenyataan daripada istana itu sebagai memuktamadkan keputusan yang telah kami sama-sama setuju,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan yang berlangsung di Istana Hinggap, Seremban hari ini.
Sesi menghadap yang diketuai Ahmad Zahid berlangsung lebih sejam sebelum rombongan pemimpin BN meninggalkan Istana Hinggap kira-kira jam 4.15 petang.
Ditanya sama ada Negeri Sembilan bakal menyaksikan pelantikan Menteri Besar baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ismail Lasim, Zahid sekali lagi menyerahkan perkara itu kepada Tuanku Muhriz untuk diumumkan.
Beliau bagaimanapun memberi bayangan kemelut pentadbiran negeri itu dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah dalam masa terdekat (selesai),” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengerusi BN Negeri Sembilan merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Terdahulu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh turut menghadap Tuanku Muhriz kira-kira jam 1.18 tengah hari.
Perkembangan itu berlaku ketika spekulasi mengenai kemungkinan pertukaran Menteri Besar semakin memuncak susulan kemelut politik dan pentadbiran yang melanda Negeri Sembilan.
Difahamkan, kedudukan Ismail dijangka ditentukan minggu ini selepas pertemuan membabitkan kesemua 24 Adun BN dan Perikatan Nasional (PN) diadakan minggu lalu.




