SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menyiasat kontroversi pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada hanya RM1,000.
Perkembangan itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang memaklumkan tiga pegawai SPRM hadir ke pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam.
Menurutnya, pegawai berkenaan turut meminta pembantunya hadir ke pejabat SPRM pagi ini bagi membantu siasatan.
“Ya, saya boleh mengesahkan bahawa tiga pegawai SPRM hadir ke pejabat saya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam dan meminta pembantu saya hadir ke pejabat SPRM pagi ini bagi membantu siasatan,” katanya mengulas laporan media berhubung perkara itu.
Kontroversi berkenaan tercetus susulan keputusan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium hanya RM1,000, berbanding anggaran asal kira-kira RM4.67 juta.
Perbezaan ketara itu mencetuskan persoalan beberapa Ahli Parlimen yang mempersoalkan asas pengurangan premium berkenaan, termasuk ketelusan proses penilaian dan pihak yang bertanggungjawab membuat keputusan.
Ketika menjawab persoalan di Dewan Rakyat sebelum ini, Hannah menjelaskan pengurangan premium dibuat selepas KLSCAH mengemukakan permohonan baharu bagi menukar kategori penggunaan tanah daripada komersial kepada institusi.
Beliau turut menegaskan keputusan itu bukan dibuat secara peribadi olehnya, sebaliknya diluluskan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.
Menurut Hannah, kadar RM1,000 itu ditetapkan berdasarkan Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1995, dengan mengambil kira status bangunan berkenaan sebagai warisan kebangsaan sejak 2007.
Bagaimanapun, kontroversi itu terus mendapat perhatian apabila beberapa Ahli Parlimen mendesak penjelasan lebih terperinci mengenai proses kelulusan serta justifikasi pengurangan premium yang begitu besar.
Kehadiran pegawai SPRM ke pejabat Hannah dan pemanggilan pembantunya bagi membantu siasatan kini menjadi perkembangan terbaharu dalam isu berkenaan.
Setakat ini, tiada pengesahan bahawa Hannah sendiri dipanggil memberikan keterangan atau disiasat berhubung perkara itu




