
SPRM mohon reman Shamsul, Albert Tei esok
BEKAS setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan tengah hari tadi.
Penahanan Shamsul disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan di TikTok rasmi SPRM hari ini.
Azam menjelaskan, SPRM turut menahan Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing dan juga wanita bernama Sofia Rini Buyong untuk membantu siasatan.
“Selain daripada itu, SPRM juga telah menahan Shamsul di pejabat SPRM hari ni jam 12.51 tengah hari bagi membantu siasatan.
“Shamsul datang memberi keterangan di pejabat SPRM kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
“SPRM dijangka akan membuat permohonan reman kepada Albert dan Shamsul di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok,” katanya.
Azam berkata, Sofia Rini telah ditahan pada 27 November 2025 jam 10.30 malam tadi ketika hadir di Ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.
Jelasnya, SPRM juga telah mendapat kebenaran untuk mereman Sofia Rini sehingga Isnin ini (1 Disember).
SPRM turut memaklumkan telah menyerahkan notis Seksyen 28 A (9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Tei yang mana ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa yang menyiasat bagi menafikan hak tertuduh untuk berhubung dengan peguam dan mana-mana pihak lain.
Sementara itu, Azam berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan penahanan ini boleh mencabarnya di mahkamah.
“SPRM akan menyiasat kes ini secara profesional dan adil berlandaskan lunas undang-udang.
“Mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai hak untuk mempertikaianya di mahkamah,” katanya.


