Madani News

BN akan pantau tawaran manifesto dilaksana jika teraju Sabah – Zahid

INDEKS Prestasi Utama (KPI) serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan menjadi penanda aras kepada prestasi setiap calon Barisan Nasional (BN) jika parti itu dipilih menerajui Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN optimis akan bangkit semula untuk mentadbir Sabah kali ini dan dua mekanisme itu ditetapkan bagi memantau manifesto yang ditawarkan dilaksanakan atau sebaliknya kelak.

“Saya akan memantau pelaksanaan ini satu persatu. Jika kita mencapai dan saya akan menentukan ada KPI yang akan dilaksanakan. Saya akan menentukan ada NKRA yang akan dipantau secara terperinci.

“Ini tekad saya, tekad rakan-rakan di dalam kepimpinan Barisan Nasional dan kerajaan pusat, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran manifesto di bangunan UMNO Sabah, semalam.

Terdahulu, BN melancarkan manifesto Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) mengandungi enam tonggak dan pelbagai inisiatif menyeluruh untuk membangunkan ekonomi negeri, menjamin hak Sabah serta membantu rakyatnya.

Ahmad Zahid berkata, jika mandat diberikan semula kepada BN, jaminan beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri untuk menambah peruntukan yang lebih besar lagi di kawasan luar bandar.

“Biarpun belum sepenuhnya termaktub di dalam manifesto ini, saya yakin rakyat Sabah keseluruhannya mempunyai semangat yang agak luar biasa pada kali ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden UMNO turut menyatakan ada pihak tertentu cuba menawarkan wang ringgit dalam kempen mereka bagi tujuan membeli undi.

“Kita dapat tahu, ada parti atau gabungan yang memberikan wang tunai untuk pengundi. Ada yang memberi RM300, RM500, malah RM1,000. Itu rezeki, ambillah wang itu, tetapi hati dan undi tetap kepada BN.

“Takkan kita sanggup kerana RM300, RM500, malah RM1,000 pun, rakyat Sabah akan sengsara selama lima tahun lagi. Ya, kita tidak mahu itu. Kita mahu pembangunan sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera yang datang terutamanya daripada Sabah dan seluruh negara membantu calon-calon BN.

Back to top button