
Anwar mohon maaf lewat tunai janji turunkan harga RON95
AKHIRNYA Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya untuk menurunkan harga petrol RON95 apabila mengumumkan harga bahan api itu akan diturunkan kepada RM1.99 seliter sebaik sahaja pelaksanaan subsidi bersasar dikuatkuasakan hujung September ini.
Meskipun mengambil masa lama untuk berbuat demikian, Perdana Menteri dengan nada sayu memohon maaf kepada rakyat atas kelewatan itu kerajaan berikutan Kerajaan MADANI memerlukan masa lama dalam meneliti pelbagai aspek termasuk beban fiskal dan kedudukan kewangan negara yang mewarisi hutang tinggi sejak mengambil alih pentadbiran negara pada November 2022.
“Saya minta maaf ambil masa lebih panjang (turunkan harga minyak) disebabkan hutang tinggi di samping mencari jalan untuk menarik pelabur masuk dan sekarang tersedia keperluan untuk turunkan harga minyak dari RM2.05 kepada RM1.99 seliter.
“Kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September 2025. Apa yang pasti, sepertimana pendekatan penyasaran subsidi elektrik, kerajaan beri jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas; bahkan, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri yang turut disiarkan secara langsung di televisyen, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, insiatif tersebut tentunya akan memberi manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun serta pekerja gig.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat, dan mengurangkan pembaziran subsidi.
“Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun—sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat.
“Pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar pada harga pasaran tanpa subsidi. Harga RM1.99 hanya untuk dinikmati oleh warganegara Malaysia. Sebelum ini ada yang menjadi pejuang kepada (kenaikan minyak petrol) kepada orang asing dan kita nak lihat siapa akan jadi jaguh kepada warga asing selepas kita laksanakan penurunan minyak,” katanya.