
Anwar kecam serangan udara Israel ke atas Syria
DATUK Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu rejim Israel ke atas ibu negara Syria, Damsyik, yang mengorbankan nyawa orang awam serta mencabuli kedaulatan negara itu.
Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut merupakan satu pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.
“Syria telah menanggung penderitaan yang amat berat sepanjang dekad lalu.
“Rakyatnya berhak untuk hidup aman, bukan terus menjadi mangsa keganasan dan campur tangan asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Syria dan menyeru semua pihak agar menghentikan pelanggaran seumpama itu serta kembali kepada prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan serangan udara Israel yang dilaporkan mengenai beberapa kawasan di sekitar Damsyik, termasuk bangunan Kementerian Pertahanan Syria dan kawasan berhampiran Istana Presiden.
Serangan berkenaan dilaporkan menyebabkan kemusnahan teruk serta kehilangan nyawa dalam kalangan orang awam.
Menurut laporan antarabangsa, serangan Israel itu dipercayai berlaku selepas tentera kerajaan Syria melancarkan tindakan ketenteraan terhadap masyarakat Druze di selatan negara tersebut.