Malaysian News

Tak usahlah Malaysia bermusuh dengan Amerika- Nazri

MALAYSIA tidak perlu bermusuh dengan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan kuasa besar dunia.

Bekas Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, apa yang perlu dilakukan Malaysia ialah mencari jalan terbaik yang menemui titik temu, bukan mencari titik perbezaan yang boleh mencetuskan permusuhan dengan negara Uncle Sam itu.

Justeru, beliau mengingatkan pengkritik kerajaan supaya tidak menjadikan Perjanjian Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan AS sebagai alat politik kononnya kedaulatan negara tergadai.

“Isu tarif ini penting, tak usahlah bermusuh dengan AS, cari jalan baik boleh berjumpa mencari titik temu. Malaysia perlu cuba berkawan dengan negara-negara kuasa besar – AS, China, India dan Rusia.

“Yang dok berdemonstrasi ni, kamu ingat kamu kuatkah nak lawan dengan AS?” kata Nazri dalam wawancara bersama Suara TV.

Beliau yang juga bekas Menteri Kabinet menegaskan melalui penyertaan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , Malaysia telah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara berdaulat daripada semua negara di dunia, justeru tidak timbul isu kedaulatan negara ternoda akibat perjanjian ART itu.

“Dakwaan kononnya perjanjian ART ini mengakibatkan Malaysia menyerahkan kedaulatan kita, soal kedaulatan negara tidak boleh dirunding. Tiada siapa boleh paksa Malaysia serah kedaulatan kepada AS, cerdiklah sikit.

“Tak ada sebab kita nak bergaduh sebab isu kedaulatan ternoda.

“Tidak ada perjanjian yang buatkan apa yang dia buat kita kena ikut, tunggu masanya. Kebimbangan itu tak akan berlaku,” katanya.

Back to top button