
Kabinet setuju cadangan had tempoh PM 10 tahun
KERAJAAN MADANI terus mengorak langkah berani dalam agenda reformasi institusi apabila mengesahkan akan membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun atau dua penggal penuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa cadangan dasar tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.
Menurut Azalina, langkah ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan untuk memperkukuh prinsip akauntabiliti serta tadbir urus yang telus.
“Keputusan ini dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti secara menyeluruh input dasar, pandangan awam serta syor daripada sesi libat urus holistik bersama pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam amanat tahun baharunya telah memberi bayangan jelas bahawa Rang Undang-Undang (RUU) ini akan menjadi keutamaan dalam sesi Parlimen tahun ini.
Pindaan ini dilihat sebagai satu anjakan paradigma dalam sejarah politik tanah air bagi memastikan kestabilan dan menghalang sebarang cubaan untuk memonopoli kuasa dalam tempoh yang terlalu lama.
Pindaan tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat sebaik sahaja semua urusan teknikal dan perundangan dimuktamadkan.


