
Isu ternakan babi: Pastikan ladang babi bebas pencemaran
KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan bahawa pembukaan atau penyediaan ladang ternakan babi di negara ini tidak seharusnya dilihat melalui lensa perkauman atau agama, sebaliknya perlu diteliti daripada sudut pencemaran dan keterjaminan makanan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan sebarang projek penternakan haiwan berkenaan dilengkapi infrastruktur yang sistematik bagi mengelakkan gangguan terhadap alam sekitar dan masyarakat setempat.
Menurut Mohamad Sabu, kementeriannya sentiasa bersedia untuk menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri bagi mencari formula terbaik dalam menangani isu tersebut.
“Masalah babi adalah masalah pencemaran. Kita sentiasa mencari jalan terbaik terutama bagi menyediakan infrastruktur yang bebas pencemaran. Ini hal makanan dan pencemaran, bukan soal kaum atau agama,” tegas beliau selepas Majlis Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Kenyataan ini hadir susulan tindakan kerajaan Selangor yang baru-baru ini memutuskan untuk membatalkan dan menangguhkan projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Keputusan tersebut diambil bagi membolehkan pencarian lokasi alternatif atau kaedah yang lebih sesuai selepas mengambil kira faktor persekitaran dan keresahan masyarakat.
Mohamad Sabu menambah, perbincangan berterusan dengan kerajaan negeri seperti di Negeri Sembilan dan Melaka juga dilakukan bagi memastikan keharmonian semua pihak terpelihara dalam usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara


