
Kemasukan pelajar ke MRSM, SBP melalui sistem pengambilan tunggal
PROSES Pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah khusus akan diselaraskan menerusi sistem tunggal di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bermula tahun 2026.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah ini selaras dengan komitmen Kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan yang lebih teratur, berfokus dan saksama.
“Penyelarasan ini dilakukan bagi mengelakkan pertindihan tawaran dan memastikan setiap tempat diisi oleh pelajar yang benar-benar layak.
“Sebelum ini, pelajar berpotensi menerima lebih daripada satu tawaran, menyebabkan banyak ruang pembelajaran tidak diisi apabila tawaran ditolak. Ini menafikan peluang kepada pelajar-pelajar lain yang juga layak.
“Melalui sistem tunggal ini, pengagihan tempat akan menjadi lebih adil dan inklusif, khususnya untuk pelajar cemerlang dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, selari dengan dasar keutamaan kepada golongan B40.
“Dasar sedia ada juga dikekalkan di mana 60 peratus pengambilan pelajar akan melibatkan keluarga B40, dengan keutamaan diberikan kepada pemohon dari luar bandar dan kawasan miskin bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan SBP dan MRSM, di ibu negara, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadlinah Sidek dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dua sistem pengambilan berasingan yang dilaksanakan ketika ini menyebabkan pelajar menerima dua tawaran pada masa yang sama.
“Lazimnya di antara 10 hingga 15 peratus tawaran tidak diisi akibat pertindihan ini, yang akan menyebabkan KPM dan MARA sibuk menerima surat rayuan.
“Kita juga tidak dapat menyemak rayuan apabila pangkalan data tidak diselaraskan, tetapi dengan adanya penyelarasan ini proses rayuan juga boleh ditambahbaik,” katanya lagi.
Jelasnya, pemilihan akan terus menggunakan kaedah Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), dengan platform atas talian yang seragam antara MARA dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Manakala, bagi pelajar sekolah swasta yang tiada dalam sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), permohonan masih boleh dibuat melalui sistem MyMRSM.
Ahmad Zahid yakin penyelarasan ini adalah langkah ke hadapan untuk menyusun semula ekosistem pendidikan berasrama penuh negara agar lebih cekap, berintegriti dan memberi peluang saksama kepada semua anak Malaysia.