
Individu terbabit buli boleh dihukum penjara hingga 10 tahun
INDIVIDU yang melakukan gangguan, penghinaan atau perbuatan membuli termasuk dalam talian kini berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu termaktub dalam pindaan Kanun Keseksaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] yang diperkenalkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM).
Menurutnya, pindaan yang telah mendapat perkenan diraja pada 25 Februari lalu dan diwartakan pada 7 Mac itu akan berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta.
Ia memasukkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang turut meliputi kesalahan menyalahgunakan maklumat identiti serta situasi yang mendorong mangsa cuba membunuh diri atau meninggal dunia akibat provokasi.
“Rakyat perlu meneliti serta mematuhi undang-undang berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat daripada BHEUU atau Jabatan Bantuan Guaman yang menyediakan khidmat penerangan secara percuma sekiranya timbul kekeliruan.
Azalina turut menyeru kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi mengemas kini pengetahuan warga kerja mengenai perkembangan undang-undang serta memastikan dasar dalaman selaras dengan pindaan itu.
“Perlu diingat, kejahilan berkenaan undang-undang bukan alasan di sisi undang-undang.
“Kefahaman yang jelas terhadap hak dan tanggungjawab adalah langkah pertama membina masyarakat selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” katanya.