
Anwar belum dapat maklumat Jho Low guna passport antarabangsa palsu
DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan yang kerajaan belum menerima maklumat mengenai ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho atau Jho Low yang dilaporkan media antarabangsa menetap di Shanghai, China menggunakan pasport antarabangsa palsu.
Perdana Menteri berkata, beliau akan menyemak perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Saya tidak dapat maklumat. Kita (Malaysia) belum dapat apa-apa maklumat. Bagi saya semak dahulu, saya sudah baca (laporan berita).
“Saya akan semak dengan Menteri Dalam Negeri (KDN),” katanya selepas melancarkan Majlis Pecah Tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar di Bayan Lepas, semalam, lapor Bernama.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan yang mendakwa Jho Low yang dikehendaki dalam kes penyelewengan dana berbilion ringgit itu, dipercayai menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.
Menerusi pendedahan itu, Jho Low dilaporkan menetap di kawasan eksklusif Green Hills, selain memandu kereta mewah dan didakwa beroperasi dari pejabatnya yang terletak di Pusat Kewangan Shanghai meskipun Malaysia masih giat menuntut proses ekstradisinya.
Lebih mengejutkan, laporan itu turut mendedahkan Jho Low kini berperanan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China.