Madani News

PM bidas pembangkang tuduhan tidak berasas komitmen RMK13 terhadap Bumiputera

DATUK Seri Anwar Ibrahim membidas tuduhan pihak pembangkang yang mendakwa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak memberikan tumpuan kepada pembangunan Bumiputera, dan menyifatkan dakwaan itu sebagai bukti bahawa dokumen berkenaan tidak diteliti dengan sewajarnya.

Perdana Menteri berkata, RMK13 secara jelas memperuntukkan perbelanjaan antara yang tertinggi bagi pembangunan Bumiputera, termasuk menerusi pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

“RMK13 ini harus ditelaah oleh semua. Jika tidak, (akan timbul dakwaan seperti) Kampung Baru Cina diberi peruntukan, tetapi Bumiputera tiada.

“Jika baca, langkah PuTERA35 itu, perbelanjaan untuk Bumiputera adalah antara yang tertinggi, termasuk rizab Melayu di Bandar Malaysia. Belum pernah sejak merdeka.

“Ini Kerajaan MADANI saja berani buat. Sebelum ini tiada, walaupun (pembangkang) uar-uarkan mengenai Melayu, bukan main bunyi berdentum dentam,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN–Pendang) ketika mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendakwa bahawa RMK13 tidak memberi fokus kepada pembangunan Bumiputera, sebaliknya lebih tertumpu kepada perkampungan baharu Cina.

Menjelaskan mengenainya, Perdana Menteri menjelaskan bahawa PuTERA35 merupakan antara inisiatif utama di bawah RMK13 yang menumpukan strategi 3P, iaitu penyertaan yang meluas, pemilikan yang bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik.

Selain itu, usaha turut dipergiat untuk mempersiapkan syarikat Bumiputera agar berdaya saing dan bersedia disenaraikan di Bursa Malaysia, antaranya menerusi konsep perlumbaan ‘relay’, yang bertujuan memperkasakan serta memperbanyakkan bilangan usahawan Bumiputera bermula dari peringkat syarikat baharu sehinggalah menjadi syarikat tersenarai.

Back to top button