
MCMC siasat individu siar kandungan palsu pelantikan Ketua Hakim Negara
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil seorang individu untuk diambil keterangan berhubung kandungan berunsur palsu di akaun Instagram miliknya berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara.
Sesi merakam keterangan diadakan pada pukul 2.30 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Selain itu, MCMC dalam satu kenyataan turut memaklumkan menyita sebuah telefon bimbit dan satu unit kad SIM milik individu berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“MCMC memandang serius penyebaran kandungan palsu dan jelik melampau yang menyentuh integriti institusi kehakiman negara,” menurut kenyataan itu lagi.
MCMC menegaskan, penyalahgunaan media sosial untuk tujuan sedemikian boleh menggugat kepercayaan awam serta menjejaskan ketenteraman negara.
Sehubungan itu, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Terdahulu media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melantik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.