Madani News

Tok Mat sangkal lawatan PM ke Perancis tidak menerima penghormatan tertinggi

DATUK Seri Mohamad Hasan menafikan dakwaan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis tidak mendapat sambutan selayaknya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Menteri Luar itu menjelaskan, lawatan ke Perancis hanyalah persinggahan sebelum ke Rio de Janeiro, Brazil.

Katanya, Anwar ketika itu sedang dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat BRICS di Brazil.

“Kami di pihak Wisma Putra, memandangkan ada jemputan oleh kedua-dua negara yang sudah lama menjemput Perdana Menteri ke Itali dan Perancis.

“Jadi kami mengambil peluang dalam perjalanan berkenaan untuk singgah. Ia bukanlah lawatan rasmi sangat kerana kalau lawatan rasmi akan terus ke negara berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membuat soalan tambahan yang membangkitkan protokol yang diterima Anwar selalu Pengerusi ASEAN adalah lebih rendah berbanding Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika mengunjungi Perancis.

Mohamad berkata, walaupun lawatan berkenaan hanya satu persinggahan, namun Perdana Menteri masih menerima penghormatan yang tinggi termasuk pemeriksaan barisan.

“Jadi tidaklah betul untuk mengatakan bahawa lawatan perdana menteri ke Perancis tidak mendatangkan makna.

“Malah ketika perbincangan dua hala dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, banyak perkara yang dibincangkan termasuk perbincangan empat mata termasuk di Itali,” katanya.

Back to top button