
15 September cuti tambahan untuk rakyat Malaysia, Jualan Rahmah MADANI diperkukuhkan
15 SEPTEMBER 2025 merupakan hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, ia diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia, Anwar memaklumkan, hari kelepasan am itu untuk meningkatkan usaha pelancongan tempatan dan memberi masa serta ruang lebih baik untuk menikmati bersama keluarga.
“Sempena Hari Malaysia 16 septmeber ini, untuk meningkatkan usaha pelancongan tempatan dan kita memberi masa dan ruang lebih baik dengan kelaurga maka saya umumkan 15 September 2025, Isnin diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan rakyat dengan meningkatkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta pada tahun lalu.
Menurutnya, langkah ini bertujuan memperluas capaian program di seluruh negara, termasuk menambah kekerapan penganjuran di semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Maka, peruntukan awal RM300 juta akan ditambah RM300 juta lagi dan peruntukan ini memastikan kekerapan dan perluasan lokasi ke setiap DUN 600.
“Jualan Rahmah akan diadakan di setiap DUN sebelum akhir tahun ini,” katanya.