Madani News

PM arahkan polis ‘raikan’ peserta Himpunan Turun Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memberikan kerjasama penuh bagi memastikan Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan oleh Pas berlangsung dalam keadaan aman, lancar dan tanpa sebarang bentuk intimidasi.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, arahan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjunjung prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan, termasuk dalam menjamin kebebasan bersuara bagi semua pihak, termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

“YAB Perdana Menteri menitipkan pesanan agar demonstrasi ini berlangsung secara aman dan tertib.

“Beliau telah mengarahkan pihak PDRM untuk membantu memastikan keselamatan awam terpelihara serta kelancaran perhimpunan dapat dibantu,” kata ketika taklimat media PMO hari ini.

Tunku Nashrul berkata, Kerajaan MADANI tetap berpegang pada prinsip suara pembangkang dan demonstrasi secara aman merupakan amalan demokrasi yang sihat dan matang, selagi ia tidak melanggar undang-undang serta tidak menjejaskan ketenteraman awam.

“Di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, ruang bersuara bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati.

“Kerajaan tidak menyekat kritikan secara membuta tuli, tetapi meraikan perbezaan pandangan dengan semangat terbuka dan sikap yang bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat agar terus menjunjung nilai demokrasi dengan menggunakan akal yang waras, semangat yang matang serta keikhlasan dalam menyatakan perbezaan pandangan.

“Kerajaan MADANI berdiri teguh bukan kerana menutup ruang kritikan, tetapi kerana membuka ruang toleransi dengan penuh ihsan dan istiqamah,” katanya.

Back to top button