
SARA: Tak perlu hina, kalau tak perlu sedekahkan kepada yang memerlukan
INDIVIDU yang tidak memerlukan RM100 bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinasihatkan agar tidak mempersendakan nilai bantuan itu.
Sebaliknya, Exco Wanita UMNO Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, mereka boleh menyumbangkan RM100 tersebut kepada golongan yang memerlukan.
Tegasnya, beliau bukan mahu mengampu atau mengipas sejujurnya perlu berterima kasih kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
“Dan sejujurnya saya tak perlukan RM100 untuk diri saya, tetapi saya boleh ke mana-mana Mydin, Lotus, 99 Speedmart dan Econsave untuk tunggu di kaunter dan bantu membayar menggunakan sejumlah wang sara tersebut kepada mereka yang lebih memerlukan. Niat sedekah.
“Tak perlu drama. Tak perlu hina. Selagi kita jenis suka mencari masalah daripada menyelesaikan, kita tidak akan jumpa ketenangan dalam hidup.
“Seronok mengumpat ramai-ramai. Seronok hina orang ramai-ramai. Seronok lain macam kan? Begitulah.
“Kekuatan sebenar bukan pada apa yang kita miliki, tetapi pada keupayaan untuk merasa cukup walaupun hanya dengan sedikit. Itulah kekayaan jiwa yang sebenar,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan sumbangan RM100 secara one-off melalui SARA kepada setiap warga negara berusia 18 tahun pada 31 Ogos nanti.
Jelasnya, sumbangan itu sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia itu akan disalurkan melalui MyKad dan boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos ini sempena Hari Kebangsaan sehingga 31 Disember.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya ketika mengumumkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia secara siaran langsung di televisyen.
Penerima sumbangan ini boleh membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart dan kedai runcit di semua daerah seluruh negara.