Malaysian News

Ops Layar: SPRM sita aset nilai 2 juta, beku 21 akaun

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan membekukan 21 akaun bank dan menyita aset bernilai kira-kira RM2 juta dalam satu siasatan berkaitan dakwaan rasuah perolehan projek Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi Op Layar.

Daripada jumlah akaun yang dibekukan, tujuh merupakan akaun milik syarikat manakala 14 lagi melibatkan akaun individu, dengan keseluruhan nilai wang yang dibekukan dianggarkan sekitar RM700,000.

Tindakan tersebut susulan siasatan terhadap beberapa syarikat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah, termasuk peranan mengesyorkan dan melantik syarikat yang mempunyai hubungan dengan seorang pegawai kanan TLDM.

Dalam operasi yang dikendalikan oleh Bahagian Perisikan SPRM, dua buah hotel yang dikaitkan dengan pegawai kanan TLDM berkenaan turut dirampas. Nilai kedua-dua aset itu dianggarkan berjumlah RM2 juta.

Selain itu, SPRM dilaporkan sedang menjalankan semakan bersama Jabatan Akauntan Negara bagi meneliti penglibatan beberapa syarikat, termasuk kewujudan sebarang tender atau sebut harga yang pernah diperoleh oleh syarikat-syarikat terbabit.

Memetik laporan BH, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, mengesahkan tindakan berkenaan dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan secara intensif.

Beliau berkata, setakat ini SPRM telah merakam keterangan tujuh individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Sebelum ini, SPRM menahan seorang pengarah syarikat dan seorang pegawai kanan TLDM kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah dengan mencadangkan serta melantik syarikat yang mempunyai hubungan rapat bagi mendapatkan kerja sebut harga di lokasi penugasan pegawai berkenaan.

Susulan penahanan tersebut, kedua-dua individu itu direman selama tujuh hari sehingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Back to top button