Malaysian News

Mahkamah Tinggi tolak Najib jalani tahanan di rumah

DATUK Seri Najib Razak kekal menjalani baki hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak semakan berkaitan tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Dengan keputusan itu, bekas Perdana Menteri itu gagal memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum agar beliau dipindahkan ke kediamannya di ibu negara serta merta.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sudah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International sejak 23 Ogos 2022.

Bagaimanapun, Najib, 72, masih menanti keputusan bagi kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi berlainan, Jumaat ini.

Najib dipenjara 12 tahun dan dikenakan denda RM210 juta namun hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta selepas beliau mendapat pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Bekas Presiden UMNO itu kemudian memfailkan semakan kehakiman pada 1 April tahun lalu bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain menguatkuasakan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Back to top button