
Kebenaran terjawab sudah, Pas gabung dengan Bersatu kerana wang
DESAS DESUS Pas ‘berkawan’ dengan Bersatu hanya kerana wang terjawab berikutan pendedahan kos perbelanjaan pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.
Pendedahan oleh bekas Ketua Setiausaha Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad bahawa Bersatu yang menanggung sepenuhnya perbelanjaan Pas pada PRU15 lalu mengesahkan spekulasi mengenai punca hubungan UMNO dan Pas tidak berpanjangan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa pihaknya tidak hairan dengan tindakan Pas yang sanggup meninggalkan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) semata-mata untuk bergabung bersama Bersatu menubuhkan PN.
“Patutlah Pas sanggup meninggalkan UMNO dalam MN untuk bersama Bersatu mendaftar dan menubuhkan PN.
“Memang waktu itu lagi ramai yang memberikan maklumat bahawa Bersatu menawarkan bantuan kewangan kepada Pas untuk menghadapi PRU15.
“Justeru, hari ini apabila bekas setiausaha politik kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri mendedahkan segala perbelanjaan PN termasuk calon Pas ditanggung Bersatu, hanya mengesahkan cakap-cakap waktu itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu Marzuki turut menjelaskan, anggaran kos minimum bagi satu kawasan Parlimen boleh mencecah RM1 juta dan jumlah sebenar berpotensi lebih besar bergantung kepada keadaan setempat.
Menurutnya, Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan PRU15 apabila mereka bertanding menggunakan logo PN dan semua peralatan pilihan raya disediakan oleh PN.