
Timor-Leste sah sertai keluarga ASEAN
ASEAN hari ini melakar sejarah baharu apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 blok serantau itu, menandakan penyertaan penuh negara berkenaan ke dalam komuniti Asia Tenggara selepas lebih sedekad memohon keanggotaan.
Majlis penyerahan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) disempurnakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), disaksikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bersama menteri luar negara anggota ASEAN.
Dalam ucapannya, Mohamad berkata, penyertaan rasmi Timor-Leste menandakan peluasan skop ASEAN yang kini merangkumi semua negara berdaulat di rantau ini.
“Hari ini kita menyambut penyertaan Timor-Leste ke dalam keluarga ASEAN.
“Ini bukan sekadar peristiwa diplomatik, tetapi simbol kekuatan dan perpaduan serantau,” katanya pada majlis penyerahan Instrumen Penyertaan Timor-Leste kepada ASEAN dan SEANWFZ di sini, hari ini.
Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri Luar Timor-Leste, Bendito Freitas, kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
Mohamad turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Timor-Leste atas kejayaan bersejarah itu yang disifatkannya sebagai hasil perjuangan panjang serta ketabahan luar biasa negara berkenaan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti ASEAN.
“Timor-Leste ialah negara yang dibina atas keberanian, kesabaran dan harapan yang tidak pernah padam.
“Hari ini, anda menyertai keluarga yang sekian lama menantikan kehadiran anda,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Piagam ASEAN bukan sekadar dokumen asas, sebaliknya menjadi nadi kepada visi bersama rantau ini yang berteraskan kepercayaan, rasa hormat dan solidariti demi keamanan serta kemakmuran.
Menurut beliau, penyertaan Timor-Leste dalam Piagam ASEAN dan SEANWFZ menzahirkan komitmen negara itu untuk berjalan seiring dengan negara anggota lain bagi memastikan Asia Tenggara kekal aman dan bebas daripada ancaman senjata nuklear.
“Langkah ini membuktikan keyakinan Timor-Leste terhadap nilai dan idealisme ASEAN serta kepercayaan terhadap masa depan bersama yang harmoni dan saling menghormati,” katanya.
Mohamad menambah, kehadiran Timor-Leste akan memperkaya identiti ASEAN bukan sahaja dari segi demografi, malah dalam aspek politik, budaya dan ekonomi.
“Kekuatan ASEAN sentiasa terletak pada kepelbagaian, dan dengan penyertaan Timor-Leste, perpaduan serantau ini akan menjadi lebih kukuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan itu mengukuhkan keyakinan terhadap ASEAN sebagai sebuah organisasi yang inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan dengan semangat kerjasama serta kemajuan bersama.
“Semoga kita terus melangkah bersama sebagai satu rantau bersatu, makmur dan teguh menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Timor-Leste memohon menjadi anggota ASEAN pada tahun 2011, hampir sedekad selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 2002. Namun, proses keanggotaan mengambil masa panjang disebabkan oleh keperluan penilaian terhadap kesediaan ekonomi, kapasiti institusi serta keperluan konsensus dalam kalangan negara anggota sedia ada.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-40 dan Ke-41 di Phnom Penh, Kemboja, pada November 2022, pemimpin ASEAN secara dasarnya bersetuju menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN serta memberikan status pemerhati kepada negara itu.
Persetujuan tersebut turut menggariskan pelan tindakan ke arah keahlian penuh, termasuk sokongan pembangunan kapasiti bagi memastikan penyertaan berkesan Timor-Leste dalam komuniti ASEAN.


