
PMX terus dimaklum perkembangan terkini banjir sejurus tiba di KLIA – KSN
SEJURUS tiba di tanah air, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dimaklumkan mengenai perkembangan terkini banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang menjejaskan beberapa negeri.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Perdana Menteri yang baru mengadakan lawatan rasmi selama lapan hari Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya sempat juga dimaklumkan hal-hal urusan pentadbiran kerajaan.
“Alhamdulillah, Perdana Menteri selamat tiba di tanah air setelah lapan hari bermusafir membawa agenda besar negara ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.
“Dalam kesempatan yang singkat, saya sempat memaklumkan perkembangan terkini berhubung situasi semasa musibah banjir MTL yang sedang melanda beberapa negeri dan hal-hal berkaitan perkhidmatan awam,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anwar memulakan lawatan itu pada 18 November lalu ke Ethiopia, lawatan pertama seorang Perdana Menteri Malaysia ke negara itu, bagi membalas kunjungan rasmi rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali, pada Oktober 2024.
Dari Addis Ababa, Perdana Menteri berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dari 20 hingga 23 November, sebelum mengadakan lawatan kerja ke Nairobi, Kenya, dari 23 hingga 24 November lalu.


