
PRN Sabah: BN tanding di DUN boleh menang
BARISAN Nasional (BN) hanya akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Justeru, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu tidak akan meletakkan calonnya bertanding di ke semua 73 kerusi yang dipertandingkan.
Jelasnya, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi akan diumumkan selepas dimuktamadkan, termasuk beberapa kawasan baharu selain 14 kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini.
“Yang pasti, kita akan bekerjasama dengan ‘third force’ di Sabah bagi memastikan kerusi-kerusi yang dipertandingkan memihak kepada BN.
“Kita juga telah mencapai persetujuan dengan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak berlaku pertindihan calon,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Flag-Off Skuad Sukarelawan Barisan Nasional Sabah di Bangunan UMNO Sabah, semalam.
Ahmad Zahid menambah, pada PRN lalu BN memenangi 14 kerusi, namun untuk PRN kali ini parti yakin jumlah kemenangan akan melebihi angka tersebut.
“Kerusi-kerusi ini akan dimuktamadkan sepenuhnya selepas pembubaran rasmi,” jelasnya yang juga Timbalan Perdana Menteri.


