Madani News

Zahid mohon lepas, bebas 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon supaya dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata, permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Beliau berkata, pembelaan mengambil langkah berkenaan selepas AGC memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil dalam kes membabitkan Presiden UMNO berkenaan.

“Kami membuat permohonan DNA pada 28 Januari dan AGC telah memperoleh permohonan berkenaan, dua hari kemudian.

“Memandangkan anak guam telah diberi perintah DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 4 September 2023, maka tidak adil sekiranya pertuduhan itu masih tergantung atas kepala beliau,” katanya.

Hisyam berkata, pihaknya mengemukakan permohonan itu bersama sijil perakuan segera kepada AGC pada 30 Januari lepas dan mahkamah menetapkan pendengaran permohonan itu pada 24 Februari ini.

Pada 4 September 2023, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memberi perintah DNAA kepada ahli politik berusia 73 tahun berhubung kes berkenaan.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Back to top button