
Populasi tinggi transgender, tiada bukti sahih – Mohd Na’im
DAKWAAN bahawa Malaysia tersenarai antara lima negara tertinggi di Asia yang mempunyai populasi transgender tidak dapat disahkan berikutan kekurangan data komprehensif mengenai komuniti berkenaan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, setakat ini penyelidikan berhubung golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia masih sangat terhad dan belum menyediakan data tepat berkaitan jumlah populasi mereka.
“Sehubungan itu, laporan yang mendakwa Malaysia antara lima negara tertinggi di Asia memiliki populasi transgender seperti dilaporkan media digital tidak dapat disahkan kesahihannya,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kebenaran berhubung dakwaan Malaysia tersenarai sebagai antara lima negara tertinggi di benua Asia yang mempunyai populasi transgender dan tindakan susulan kerajaan.
Mohd Na’im berkata, kerajaan berpendirian tegas dengan tidak mengiktiraf golongan LGBT selaku negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan menerapkan nilai moral berlandaskan adat, budaya serta agama dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sudah mengambil inisiatif mendekati kelompok homoseksual atau LGBT Muslim sebagai salah satu langkah intervensi kerajaan bagi membendung perkembangan kelompok itu.
“Antara langkah dan tindakan yang sudah diambil oleh JAKIM dalam menangani isu transgender dan kelompok LGBT ini adalah penubuhan jawatankuasa khas berkenaan isu LGBT beragama Islam di Malaysia dan Pembangunan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019 sehingga 2025.
“Ini termasuk penubuhan Pusat Khidmat Keluarga dan Sosial Komuniti (PKKSK), pelaksanaan program pendidikan dan advokasi serta peruntukan Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah,” katanya.


