
Anwar sambut baik keputusan Thai- Kemboja tamatkan perperangan
MALAYSIA menyambut baik pengumuman gencatan senjata oleh Kemboja dan Thailand berkuat kuasa pukul 12 tengah hari waktu tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan kedudukan tentera masing-masing keputusan penting demi kepentingan orang awam.
“Kenyataan bersama tersebut menetapkan langkah-langkah praktikal dan positif, termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN serta komunikasi langsung antara pihak berkuasa pertahanan.
“Ini menyediakan asas bagi kestabilan, dan saya berharap agar kedua-dua pihak dapat melaksanakannya dengan penuh amanah.
“Tatkala Malaysia menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina pada jam tengah malam, 1 Januari 2026, kami akan menyokong segala usaha bagi memastikan komitmen ini dipatuhi dan prestij serta kredibiliti ASEAN sebagai rantau yang aman kekal terpelihara,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata segera bermula pukul 12 tengah hari (waktu tempatan) pada 27 Disember 2025, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pihak Kemboja.
Langkah itu bertujuan menamatkan beberapa minggu pertempuran berdarah di sempadan kedua-dua negara.
Pertempuran semula bermula bulan ini selepas gencatan senjata terdahulu gagal, mengakibatkan sekurang-kurangnya 47 kematian dan sekitar satu juta orang terpaksa berpindah.
Kenyataan bersama yang ditandatangani oleh menteri pertahanan kedua-dua negara menyatakan bahawa semua jenis senjata, termasuk yang menyerang orang awam, infrastruktur, dan sasaran ketenteraan, dihentikan serta-merta.


