
Muhyiddin sah lepas jawatan Pengerusi PN
TAN Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan keputusannya untuk melepaskan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 1 Januari ini.
Perkara itu dimaklumkan beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.
“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada saya selama saya memimpin PN sejak
penubuhannya lima tahun lalu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu, PAS menyatakan kesediaannya untuk memegang teraju kepimpinan PN, kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.
Katanya, PAS akan menampilkan tokoh bagi mengemudi PN dan tidak semestinya Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Saya yakin PAS akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi yang baharu. Tidak semestinya Presiden parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembeling kekuatan parti-parti yang ada di bawah PN.
“Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi PN bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini.
“Tahniah Tan Sri Muhyidin Yassin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi PN yang baharu,” katanya.


