
Kenaikan gaji penjawat awam satu keperluan, bukan desakan- PM
DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan gaji penjawat awam yang dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun lalu bukan disebabkan desakan penjawat awam.
Perdana Menteri sebaliknya berkata, meputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam termasuk kepada Hakim tahun ini dibuat kerana keperluanm
Ia selepas kali terakhir kenaikan tahunan gaji penjawat awam berlaku sekurang-kurangnya 10 tahun lalu.
“Penjawat awam bila dah naik gaji, dah fikir kereta baharu, televisyen baharu. Penambahan itu menyebabkan kos tambahan keseluruhannya RM18 bilion.
“Ini bukan kerana tuntutan penjawat awam kerana kita lihat tanggungjawab bertambah dan 12 tahun diakui gaji semua ini hanya memenuhi hak sebagai ketua keluarga.
“Justeru, saya mulakan dengan memberikan keadilan kepada rakan penjawat awam. Ini termasuk gaji Hakim. Ada yang bertanya kenapa naik mendadak 30 peratus… kerana 10 tahun sejak 2015 tidak ada kenaikan tahunan, tidak ada kajian semula,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk memastikan pentadbiran yang cekap dan bersih.
Justeru, selepas kerajaan menaikkan gaji penjawat awam, sudah tentu harapan dan jangkaan rakyat terhadap penjawat awam adalah kualiti dan perkhidmatan yang lebih cekap termasuk tindakan lebih serius dalam melaksanakan inisiatif digital tahun ini.
“Ini termasuk pada Jemaah Menteri,” katanya.


