Malaysian News

UPKO keluar daripada PH serta-merta

PERTUBUHAN Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta selepas menilai semula hala tuju perjuangan parti berasaskan agenda Sabah First.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO yang diadakan bagi membincangkan hala tuju baharu parti berasaskan semangat dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jelasnya, mesyuarat khas itu turut menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) susulan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam prosiding Semakan Kehakiman berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah.

“Sepanjang tempoh empat tahun bersama PH, UPKO telah menjadikan agenda Sabah First sebagai asas dalam rundingan manifesto pilihan raya serta perbincangan pentadbiran dalam Kerajaan Perpaduan yang diketuai Pengerusi PH.

“Namun, sepanjang tempoh itu berlaku jurang tafsiran dan perbezaan pendirian antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional berhubung tuntutan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta isu autonomi pentadbiran PH Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam..

Nelson berkata, isu kepengerusian PH Sabah yang diputuskan melalui Mesyuarat Agung PH negeri turut menimbulkan ketegangan apabila keputusan itu dibantah oleh PKR Sabah dan tidak diselesaikan oleh Majlis Presiden PH.

“Malah, walaupun UPKO dipilih melalui pemilihan rasmi yang dikendalikan pentadbir dari Ibu Pejabat PH, Presiden UPKO hanya dilantik sebagai ‘penyelaras’ (coordinator), manakala keputusan berkaitan persiapan pilihan raya masih diputuskan oleh PKR tanpa memberi autonomi sebenar kepada PH Sabah,” katanya.

Justeru, beliau berkata, UPKO menilai semula hala tuju perjuangan dan menyimpulkan bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami denyut nadi, jiwa serta impian rakyat negeri ini berdasarkan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

“UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus hasil Sabah adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan,” katanya.

Back to top button