Gov News

PM hargai usaha Johor perkasa aset warisan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap usaha Kerajaan Negeri Johor dalam memperkasa dan menaik taraf aset warisan sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh sektor pelancongan negeri.

Beliau berkata, inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ2026) yang menumpukan kepada pemerkasaan tarikan pelancongan berasaskan sejarah, budaya dan identiti tempatan.

“Usaha ini turut menyokong agenda nasional sempena Tahun Melawat Malaysia dalam merancakkan ekonomi setempat, di samping memelihara jati diri serta sejarah bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Johor menyasarkan kehadiran seramai 12 juta pelancong sepanjang tahun ini bersempena TMJ2026, dengan kutipan hasil dijangka melebihi RM42 bilion kepada negeri.

Dalam lawatan rasmi ke Johor, Anwar turut berkesempatan mengunjungi Muzium Diraja Abu Bakar yang terletak di Istana Besar Johor.

Lawatan tersebut disertai isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muzium berkenaan menempatkan pelbagai koleksi khazanah diraja serta warisan sejarah dan kebudayaan Kesultanan Johor yang bernilai tinggi, selain menawarkan persekitaran landskap yang terpelihara dan menarik sebagai tarikan pelancongan.

Anwar tiba di Johor Bahru semalam dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) bersama ahli keluarganya dan turut meluangkan masa mengunjungi Zoo Johor.

Back to top button