
Siapkan kediaman penduduk Kg Sungai Baru ikut tempoh – Johari
PEMAJU projek pembangunan semula kawasan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur digesa menyiapkan kediaman baharu mengikut tempoh yang dijanjikan.
Gesaan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berkata, terdapat penduduk di kawasan itu yang berpindah daripada kediaman asal, tetapi mendakwa masih belum menerima pampasan sewajarnya.
“Penduduk mengharapkan rumah itu sebagai pampasan, tetapi apabila rumah tidak siap, timbul masalah,” katanya selepas melancarkan Citrawarna Kampong Baru 2025 sempena sambutan 125 tahun Kampung Baru anjuran Kelab Belia Kampung Baru, hari ini.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, terdapat juga penduduk yang mendakwa semasa menandatangani perjanjian pembangunan semula di Kampung Sungai Baru, mereka menandatanganinya dengan sebuah syarikat, tetapi syarikat berkenaan difahamkan telah menjual sebahagian kepentingannya kepada pemaju baharu.
“Itu juga satu perkara yang sedang diperhatikan, iaitu apa masalah yang mungkin timbul sekiranya projek gagal disiapkan. Siapa yang perlu bertanggungjawab-syarikat lama atau syarikat baharu-ini semua sudah ditetapkan dalam perjanjian lapan tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Johari berkata, beliau sudah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur menumpukan pembangunan dua blok kediaman terlebih dahulu untuk membolehkan pemilik tanah tradisi kembali ke kawasan asal mereka.
Projek pembangunan semula kawasan itu secara rasmi dimulakan pada 30 November lalu dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ketika itu, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, unit kediaman baharu itu berkeluasan antara 900 hingga 1,200 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik dan tiga bilik air yang jauh lebih selesa berbanding kediaman asal.
Zaliha turut mengumumkan beberapa insentif yang dipersetujui pemaju, termasuk caj penyelenggaraan percuma bagi tahun pertama, disusuli diskaun 70 peratus dari tahun kedua hingga tahun ke-10.
Terdahulu, dalam ucapannya, Johari berkata Citrawarna Kampong Baru 2025, hasil kerjasama OMNI Holding, Perbadanan Kampung Baru, Jabatan Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, akan dijadikan acara tahunan untuk mengangkat kawasan unik itu sebagai destinasi pelancongan warisan bagi pelancong domestik dan antarabangsa.
Pelbagai pengisian menarik diketengahkan sepanjang penganjuran kali kedua yang bermula semalam hingga hari ini, antaranya Larian Rona Kampong Baru yang disertai 482 peserta, jualan makanan tradisional, persembahan kebudayaan, serta aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan identiti unik Kampung Baru.


