
Setiap rakyat akan dipastikan dapat akses teknologi terkini – PM
KERAJAAN MADANI bertekad memasikan setiap lapisan masyarakat termasuk di kawasan pedalaman, tidak ketinggalan dalam mengakses teknologi terkini sama ada dalam bidang perniagaan, pendidikan, perbankan, mahupun pembangunan sosial dan ekonomi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook berkata, ini kerana dunia pada masa kini menuntut setiap negara untuk sentiasa mengikuti arus perubahan teknologi yang pesat, termasuk kemajuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan Malaysia tidak terkecuali.
“Marcapada menuntut setiap negara untuk sentiasa mengikuti arus perubahan teknologi yang pesat, termasuk kemajuan dalam bidang AI yang kini semakin diterapkan dalam kehidupan seharian, daripada sistem perkhidmatan awam hingga kepada penyampaian maklumat serta urus tadbir negara,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, usaha itu bukan sekadar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, tetapi untuk mendepani masa depan dengan kesiapsiagaan, agar Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut menjadi pencipta dan peneraju inovasi digital di rantau ini.
Dalam hantaran berkenaan Datuk Seri Anwar berkata, mengakhiri lawatan ke Tawau hari ini, beliau merasmikan Jelajah Malaysia Digital, platform di bawah tanggungjawab Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam memperkukuh proses penerapan teknologi AI yang semakin penting bagi membentuk masa depan ekonomi, daya saing dan kesejahteraan rakyat.


