
Anak Adun pembangkang Pahang ditahan berkait kes rogol gadis bawah umur
SEORANG remaja lelaki yang juga anak kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pahang ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kes rogol membabitkan seorang gadis bawah umur.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai mengesahkan suspek yang berusia 17 tahun itu ditahan semalam sejurus laporan polis dibuat oleh ibu mangsa.
Jelasnya, mangsa yang berusia 16 tahun mendakwa kejadian berlaku di sebuah rumah di daerah ini pada awal Mac lalu selepas keluar bersiar-siar bersama suspek yang baru dikenali di Bandar Maran.
“Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah rumah dan merogol gadis terbabit. Mangsa bagaimanapun memaklumkan kejadian itu kepada ibunya semalam sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai status suspek yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, Kim Wai berkata, remaja berkenaan telah dibebaskan hari ini selepas proses merakam keterangan selesai dijalankan.
Beliau menegaskan, tiada keperluan untuk pihaknya memohon perintah tahanan reman memandangkan siasatan terhadap suspek telah lengkap.
“Keterangan dan sampel darah sudah diambil serta pengakuan jelas suspek,” tambah beliau lagi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tular di platform media sosial mengenai dakwaan penglibatan anak seorang wakil rakyat pembangkang dalam kes jenayah seksual membabitkan remaja bawah umur di negeri berkenaan.


