UMNO tidak paksa PH untuk bekerjasama – Asyraf

UMNO tidak paksa PH untuk bekerjasama – Asyraf

UMNO tidak akan memaksa Pakatan Harapan (PH) untuk menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian parti itu jelas bahawa sebarang kerjasama politik perlu dibuat secara terbuka dan atas persetujuan pihak yang terlibat.

Menurutnya, UMNO menghormati pendirian mana-mana parti termasuk PH sekiranya memilih untuk bergerak secara bersendirian atau membentuk jajaran politik lain.

“Kalau dia tak nak kerjasama, itu hak dia. Kita tak boleh paksa. Itu parti dia, bukan parti kita.

“Kita sentiasa terbuka,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran Mara Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 di Menara MARA, lapor FMT.

Kenyataan itu susulan pendirian Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang sebelum ini memaklumkan PH tidak akan bekerjasama dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka.

Bagaimanapun, perkembangan mengenai kemungkinan jajaran baharu antara PH dan Bersatu turut menjadi perhatian selepas beberapa pemimpin kedua-dua pihak dilaporkan menghadiri pertemuan tidak rasmi di sebuah hotel di Melaka.

Antara yang hadir ialah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya Bersatu Melaka, Datuk Mohamad Ali Mohamad; Ketua Amanah Melaka, Ashraf Mukhlis Minghat serta Pemangku Ketua PKR Melaka, Adam Adli.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan tiada rundingan rasmi berkaitan kerjasama berkenaan, selain menegaskan sebarang keputusan membabitkan gabungan itu perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

Sementara itu, Asyraf berkata UMNO ketika ini masih berada pada peringkat rundingan dan belum membuat sebarang keputusan untuk membentuk jajaran politik baharu bagi menghadapi PRN Melaka.

“Setakat ini sedang berunding. Kita tunggu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum umum tarikh.

“Masih jajaran sama,” katanya.

PRN Melaka bakal menjadi antara tumpuan utama politik negara susulan perubahan landskap kerjasama antara parti, dengan beberapa pertemuan dan kenyataan pemimpin politik sejak kebelakangan ini mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan pembentukan jajaran baharu.