Madani News

BN mahu RUU PSB dikaji, ditambahbaikan – Zahid

BARISAN Nasional (BN) menggesa penambahbaikan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dengan memperluas rundingan bersama kerajaan negeri, penduduk asal serta pakar perancangan bandar.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan suara rakyat daripada semua lapisan masyarakat dapat diambil kira.

“BN menekankan bahawa sebarang transformasi bandar bukan hanya soal pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga mesti bersifat adil, seimbang dan selaras dengan prinsip Perlembagaan.

“Walaupun RUU ini penting untuk masa depan pembangunan negara, BN meminta ia dikaji secara teliti agar benar-benar membawa manfaat holistik kepada semua rakyat dan komuniti yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beberapa peruntukan dalam RUU itu perlu diperhalusi semula, khususnya berkaitan tahap persetujuan bagi projek pembaharuan.

“Selain itu, skop kuasa eksekutif serta penetapan nilai ambang juga boleh menjejaskan hak pemilik.

“Ia berpotensi mengganggu hak autonomi negeri dan menggugat kestabilan komuniti,” katanya sambil menghargai keputusan kerajaan menangguhkan bacaan ketiga undang-undang itu ke sidang akan datang.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata RUU PSB 2025 akan dipinda dengan ambang persetujuan baharu selepas undang-undang itu menerima bantahan daripada ahli Parlimen dan kumpulan masyarakat sivil.

Nga berkata, semua projek pembangunan semula di bawah RUU itu kini memerlukan persetujuan 80% pemilik.

Sebelum ini, RUU tersebut mencadangkan kadar ambang persetujuan lebih rendah bagi jenis bangunan tertentu, iaitu 75% untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, dan hanya 51% bagi bangunan terbengkalai atau tidak selamat.

RUU itu turut memperincikan tiga jenis projek, iaitu:

Pembangunan semula: meroboh dan membina semula projek perumahan.

Penjanaan semula: membaiki atau menaik taraf bangunan usang atau terbengkalai.

Penghidupan semula: menaik taraf atau memperbaiki kawasan tanpa merobohkannya.

Back to top button