
Projek ECRL mungkin dilanjutkan sampai ke sempadan Thailand
KERAJAAN tidak menolak kemungkinan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dilanjutkan sehingga ke sempadan Thailand, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pembangunan ECRL memberi makna tersendiri kerana ia membawa pembangunan kepada wilayah luar bandar dan kawasan pedalaman.
Jelasnya, ia juga didorong oleh sokongan China yang membuka banyak peluang kepada Malaysia sehingga merangkumi hab tenaga dan semikonduktor.
“Insya-Allah, kita akan membincangkan kemungkinan melanjutkan ECRL sehingga ke sempadan Thailand.
“China telah membuka banyak peluang di Malaysia, daripada pertanian hingga semikonduktor, pusat data, AI dan telekomunikasi.
“Malaysia kini muncul sebagai hab tenaga dan semikonduktor rantau ini, dengan banyak syarikat antarabangsa, termasuk dari China, menjadikan negara kita sebagai pusat operasi dan ibu pejabat serantau,” katanya dalam kenyataan.
Anwar yang kini berada di China dalam rangka lawatan selama empat hari turut menghadiri Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–China di Beijing petang tadi.
Dialog itu disertai 120 syarikat dan konglomerat besar China, sekali gus mencerminkan sokongan serta keyakinan yang mendalam terhadap hubungan akrab antara dua negara.
Dalam pada itu Anwar menegaskan terdapat keperluan memperkukuh hubungan Malaysia–China dengan memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan untuk membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, nadir bumi, ekonomi biru, pendidikan, penyelidikan dan sebagainya.
Tegasnya, kekuatan Malaysia adalah politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas, daripada Strategi Semikonduktor Nasional, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan, hinggalah kepada agenda peralihan tenaga termasuk ASEAN Power Grid.
“Saya juga sempat menyentuh mengenai ahli perniagaan Malaysia, Robert Kuok. Pada saat ramai pelabur asing menarik diri dari China pada 1989, beliau tetap teguh kerana percaya pada masa depan China dan nilai persahabatan sejati,” katanya.