
Thailand-Kemboja setuju untuk gencatan senjata selepas rundingan di Putrajaya
HASIL rundingan di Putrajaya hari ini, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat.
Ia sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai yang dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar memaklumkan perkara itu dalam satu sidang media bersama selepas mesyuarat berlangsung.
“Ia termasuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah satu dan dua bagi pihak Thailand dan wilayah empat serta lima bagi pihak Kemboja bermula jam 7 pagi, 29 Julai 2025.
“Selain itu, mesyuarat bersama atase pertahanan yang akan dipengerusikan ASEAN akan diadakan jika dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Anwar berkata, kedua-dua negara turut bersetuju mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) pada 4 Ogos ini yang akan dihoskan oleh Kemboja.
Katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju menyambung semula komunikasi secara langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan masing-masing.


