Malaysian News

Kerajaan tidak runtuh, yang rugi bangsa sendiri

“RETAK menanti belah, kalau tidak dibaiki, robohlah seluruh rumah.”

Perpecahan dalaman bangsa Melayu hari ini bukan sekadar krisis politik, tetapi petanda retakan yang jika dibiarkan, bakal menghancurkan keutuhan negara dari dalam.

Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad memberi peringatan tegas bahawa rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, harus belajar dari sejarah mengenai kejatuhan sesebuah negara sering bermula dengan pertelingkahan sesama bangsa sendiri.

Mengulas mengenai Himpunan Turun Anwar yang berlangsung semalam di ibu negara, beliau menyifatkan perhimpunan itu sebagai mengecewakan dan sarat dengan agenda dendam, bukannya suara rakyat seperti yang didakwa.

“Ramai yang celaru, hanya mengulang naratif politik yang dibentuk oleh parti. Ini bukan gerakan rakyat, tapi gerakan kecewa yang dibalut emosi dan nafsu kuasa. Himpunan itu tidak membawa matlamat jelas, tiada hala tuju kukuh, malah ramai peserta sendiri tidak tahu siapa bakal menggantikan Anwar jika dijatuhkan.

“Hampir semua peserta adalah orang Melayu. Mereka ialah penyokong tegar Pas dan Bersatu, majoritinya dari negeri-negeri SG4. Satu gambaran menyedihkan kerana yang dihentam ialah pemimpin Melayu sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, apabila bangsa majoriti bertelingkah tanpa arah dan fakta yang akhirnya membuat negara menerima padah kerana sejarah pernah membuktikan di saat bangsa majoriti bercakaran, pihak luar mula ambil kesempatan.

“Tunisia, Libya, Iraq dan Yaman semuanya hancur kerana perpecahan dalaman yang kemudiannya membuka ruang kepada campur tangan kuasa asing.

“Lihat Tunisia, revolusi dimulakan rakyat kerana kecewa terhadap ekonomi, korupsi dan politik. Tapi bila pemimpin gagal menyatu dan hanya bergaduh sesama sendiri, kuasa luar mula bermain peranan. Akhirnya, negara yang dulunya stabil kini bergelut dengan kemelut politik yang tidak berpenghujung.

“Di Libya, kejatuhan Gaddafi disambut sebagai kemenangan rakyat. Tapi selepas itu, puak-puak yang bercakaran gagal membentuk kerajaan stabil, lalu membuka ruang kepada kuasa luar untuk campur tangan. Hari ini, Libya hancur dengan dua kerajaan, militan bersenjata, dan rakyat jadi pelarian di tanah sendiri,” katanya dipetik The Malaysia Press.

Justeru, Azhar menegaskan, Malaysia jangan ulang sejarah yang sama. Jika bangsa Melayu asyik bertelingkah dan dihanyutkan politik jalanan, bukan saja kestabilan politik hilang, malah masa depan generasi akan terkorban.

“Jangan kita jadi alat kepada mereka yang hanya mahu kuasa. Jika kerajaan lemah, tumbangkan di Parlimen, bukan di jalanan. Kita tidak perlukan jalan raya sebagai pentas revolusi. Yang kita perlukan ialah kematangan untuk berbeza, dan kebijaksanaan untuk negara.

“Apatah lagi ketika kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha keras membina semula ekonomi, memulihkan kepercayaan pelabur dan mengangkat kembali maruah rakyat yang terkesan akibat pandemik dan kemelut politik sebelum ini.

“PMX telah memperkenalkan pelbagai inisiatif rakyat daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan MyKasih, program BUDI MADANI hinggalah pengumuman penurunan harga RON95 kepada RM1.99 menjelang September. Ini bukan retorik, ini tindakan nyata.

“Namun semua usaha ini cuba dinafikan oleh pihak yang hanya mahu menanam rasa benci, biarpun terpaksa memperalatkan rakyat sebagai alat tekanan politik. Lebih malang, yang terus dimomokkan dan digerakkan ke jalanan adalah orang Melayu sendiri,” katanya.

Azhar menegaskan, rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu harus bijak membaca gerakan ini. Himpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) bukan mewakili suara rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Laporan polis kata kira-kira 18,000 peserta yang hadir, adakah itu boleh mewakili suara rakyat? Adakah ia melingkupi suara rakyat Malaysia? Ia tidak mewakili Sabah dan Sarawak, tidak mewakili semua kaum di Malaysia pun.

“Jadi rakyat jangan mudah terpedaya dengan agenda PN yang kecewa tidak dapat berkuasa selepas PRU15, itu semua untuk tembolok politik mereka sahaja. Bukan semua yang kononnya melaungkan “demi rakyat” benar-benar peduli tentang rakyat. Yang dilaungkan hanyalah topeng kepada kerakusan kuasa.

“Sudah tiba masanya kita memilih rasional, bukan emosi. Memilih kemajuan, bukan kemusnahan. Dan paling penting memilih kestabilan untuk masa depan anak cucu, bukan pergaduhan untuk kepentingan tokoh politik yang sudah lama gagal move on,” katanya.

Back to top button