Madani News

Peperiksaan lahir generasi burung kakak tua alasan tidak munasabah

DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan alasan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai tidak munasabah dan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaannya.

Pengerusi Mara itu berkata, jika benar peperiksaan dikatakan melahirkan generasi “burung kakak tua”, maka peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga seharusnya dimansuhkan kerana turut menilai penguasaan ilmu pelajar.

“UPSR penting untuk mengukur tahap penguasaan pelajar di peringkat sekolah rendah dan membantu guru mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki. Maka, ia wajar dikembalikan,” katanya di Facebook.

Dr Asyraf turut menggariskan lima alasan utama mengapa peperiksaan itu perlu diperkenalkan semula, termasuk peranannya membentuk disiplin, tanggungjawab serta ketahanan diri murid menghadapi cabaran.

“Peperiksaan mencanai nilai penting seperti perancangan, usaha gigih dan disiplin masa. Ia juga mendidik anak-anak erti sabar, tawakal dan usaha berterusan kerana kejayaan tidak datang dengan mudah,” katanya.

Dr Asyraf menegaskan, UPSR menjadi mekanisme saringan penting bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh, MRSM dan sekolah menengah agama, selain mendorong daya saing sihat dalam kalangan pelajar.

Mulai 2021, kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada tahun sama.

Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata pemansuhan dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan pada 2020 akibat Covid-19.

Susulan pemansuhan UPSR, pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) akan diperkasa bagi murid berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.

Back to top button