
Harga Beras Putih Import Diturunkan, Bekalan Kekal Stabil & Terjamin
PUTRAJAYA, 14 Mei 2025 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini mengumumkan penurunan harga Beras Putih Import (BPI) di seluruh negara berkuat kuasa 15 Mei 2025 sebagai langkah proaktif kerajaan dalam memastikan kestabilan bekalan makanan dan mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, harga BPI di semua pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan. Ini merupakan pelarasan harga kali kedua selepas penurunan sebelumnya pada 1 Disember 2024 daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.
“Pelarasan ini adalah hasil sesi libat urus bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan mengambil kira pelbagai faktor semasa, termasuk perkembangan pasaran global dan keperluan negara untuk menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, program subsidi BPI oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa bagi memastikan akses rakyat kepada beras yang mampu milik tidak terjejas.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI yang berteraskan prinsip keprihatinan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan makanan ruji negara kekal mudah diperoleh, mampu milik dan sentiasa mencukupi.
Kejayaan usaha ini juga disumbangkan oleh pendekatan strategik BERNAS yang mempelbagaikan sumber bekalan beras dari negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar. Pendekatan ini berjaya mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal dan memberi jaminan bekalan yang lebih kukuh kepada negara.
Kementerian turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan pasaran serta memastikan semua dasar yang digariskan kekal berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan.