
MCMC Serah Kertas Siasatan Isu Jalur Gemilang Tidak Lengkap Kepada Timbalan Pendakwa Raya
PETALING JAYA, 18 April β Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melengkapkan siasatan berhubung kandungan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Kwong Wah Yit Poh serta paparan dalam akhbar digital Sin Chew Daily yang memaparkan imej Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa kertas siasatan berkaitan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Bagi kes yang melibatkan cetakan fizikal akhbar pula, siasatan kini dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Fahmi, terdapat tiga aspek siasatan utama yang sedang dijalankan:
1. Siasatan oleh KDN di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
2. Siasatan oleh PDRM di bawah peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Mempamer Lambang Kebangsaan
3. Siasatan oleh MCMC di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Beliau turut menjelaskan bahawa maklumat lanjut mengenai status siasatan oleh KDN dan PDRM belum diperolehi setakat ini.
Insiden ini tercetus apabila akhbar Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapan sempena liputan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia. Namun begitu, Jalur Gemilang yang dipaparkan dilaporkan tidak lengkap kerana tidak memaparkan lambang bulan sabit.
Kesilapan tersebut mengundang kecaman pelbagai pihak, termasuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang melahirkan rasa kesal dan menekankan agar pihak media lebih peka terhadap sensitiviti kebangsaan.
Sin Chew Daily telah tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa insiden itu berpunca daripada masalah teknikal yang tidak disengajakan.
Sementara itu, pihak Kwong Wah Yit Poh turut diminta oleh MCMC untuk memberikan penjelasan lanjut berhubung satu hantaran media sosial mereka yang turut memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
ππ§π’π πππ«π’ππ : πππ₯π₯π¨ πππ₯ππ²π¬π’π & Gambar Kredit Bernama