
ASEAN tingkat penggunaan mata wang tempatan tegas Anwar dalam forum BRICS
LANGKAH ASEAN menggunakan mata wang tempatan dalam kalangan negara anggotanya adalah sebagai usaha mengukuhkan sistem kewangan dan bebas daripada dominasi unilateral, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri berkata, ia sebahagian daripada langkah bagi mereformasikan ASEAN yang sebelum ini tertumpu kepada usaha meningkatkan perdagangan sesama sendiri.
“Malaysia dengan Indonesia, Malaysia dengan Thailand dan bersama-sama dengan China, kita mula menggunakan mata wang tempatan kita sendiri, walaupun ia bermula denhgan hanya 10 atau 20 peratus dasripada jumlah perdagangan.
“Ia membawa perubahan kerana kita tidak boleh berterusan merungut tanpa melaksanakan rancangan sendiri,” kata beliau pada Forum Perniagaan BRICS sempena Sidang kemuncak BRICS yang sedang berlangsung di Rio De Janeiro, Brazil seperti yang dilaporkan Buletin TV3.
Turut menghadiri forum tersebut ialah Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Naib Presiden Brazil Geraldo Alckim dan Presiden Konfederasi Perindustrian Nasional Brazil (CNI) Ricardo Alban.
Dalam pada itu, Anwar berkata perdagangan sesama negara anggota BRICS mesti ditingkatkan sebagaimana sedang dilaksanakan ASEAN.
Penekanan kepada kepentingan sistem multilateralisme khususnya dalam memperkukuh ekonomi secara menyeluruh.
“Ketika ini, kita mesti meningkatkan perdagangan intra-BRICS. Kita mempunyai potensi besar untuk dilonjakkan kerana hanya dengan kekuatan itu, kita boleh berunding dengan selamat dan adil dengan semua rakan kongsi yang lain.”
Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu adalah atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS dan selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Untuk rekod, Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari tahun ini.