
Cara ASEAN kekal jadi panduan bersama – PM
KEKUATAN ASEAN bukan terletak pada ketiadaan ketegangan dalam rantau ini, sebaliknya pada komitmen negara anggota untuk menguruskan perbezaan melalui saling menghormati, dialog berterusan dan pencarian kata sepakat, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, inilah yang dikenali sebagai ‘Cara ASEAN’ dan kekuatan pendekatan ini perlu terus dikekalkan sebagai panduan bersama dalam menghadapi cabaran serantau dan global.
“ASEAN tidak lahir daripada keadaan yang mudah. Ia ditempa dalam kerumitan oleh negara-negara yang memahami bahaya perpecahan dan nilai yang terkandung dalam dialog.
“Namun, kita berjaya mengekalkan keamanan dan meluaskan kemakmuran dengan cara yang jarang dapat ditandingi oleh rantau lain. Kita mencapainya dengan memupuk budaya kerjasama dan kesediaan untuk terus berhubung, meskipun masa lalu mencabar dan masa kini menguji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh para Menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyeru agar asas dalaman ASEAN terus diperkukuh, terutama dalam mendepani tekanan geopolitik dari luar serta ketidaktentuan global yang semakin mencabar.
Tegasnya, usaha membina sebuah ekonomi ASEAN yang kukuh dan bersepadu merupakan suatu keperluan strategik, yang akan menjadi tunjang kepada ketahanan dan tahap relevan ASEAN dalam dekad-dekad akan datang.
“Keperluan untuk bertindak dengan tujuan yang jelas di ASEAN tidak boleh diperkecilkan. Kerjasama praktikal harus diperkukuh, merangkumi aspek keterhubungan, keselamatan makanan, transformasi digital, pendidikan, kesihatan awam dan daya tahan iklim,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa Pemusatan ASEAN (ASEAN Centrality) mesti kekal menjadi panduan dan prinsip utama dalam usaha berterusan memperkukuh dan memperbaharui institusi yang diterajui oleh ASEAN sendiri.
“Kita mesti kekal sebagai sauh utama rantau ini untuk dialog, dan rakan-rakan dialog kita mesti terus melihat nilai dalam menjalin hubungan yang kukuh dengan kita,” katanya.
Dalam menyampaikan mesej tentang nilai dan semangat ASEAN, Anwar turut berkongsi perumpamaan menyentuh hati mengenai ketabahan dan harapan rakyat di rantau ini.
Jelasnya, semangat ASEAN terserlah dalam ketekunan seorang ibu di Battambang yang menyusun gerainya sewaktu fajar menyingsing, dalam kecekalan seorang petani di Luzon Tengah yang mengusahakan tanah bagi menyara keluarganya secara turun-temurun, dan dalam sinar harapan seorang kanak-kanak di Chiang Rai yang berjalan ke sekolah dengan impian masa hadapannya.
“Dari Sittwe ke Merauke, dari Da Nang ke Dili, rantau kita berpotensi menjadi lebih aman dan makmur sekiranya kita berani melihat ASEAN bukan sekadar sebagai kelompok negara yang bergerak seiring, tetapi sebagai sebuah komuniti yang melangkah dengan tujuan bersama.
“Di sinilah letaknya nilai ASEAN, bukan hanya pada kenyataan bersama, tetapi pada hasil nyata yang mengukuhkan rantau kita serta memberi manfaat kepada rakyatnya,” katanya.