
Nantikan satu penghargaan luar biasa buat rakyat Malaysia – Anwar
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan satu penghargaan luar biasa buat rakyat Malaysia.
“Nantikan…,” tulis Anwar di Facebooknya sambil memuat naik satu poster berkaitan.
Di poster terbabit tertera: “Akan datang satu penghargaan luar biasa buat rakyat Malaysia”.
Bagaimanapun, tiada perincian terhadap mesej ringkas di media sosial itu bagaikan satu kejutan menanti rakyat Malaysia.
Hantaran itu meraih lebih 7,000 tanda suka dan hampir 3,000 komen, selain dikongsi lebih 500 pengikut selepas sejam ia dikongsikan kepada umum.
Antara andaian dibuat pada ruangan komen adalah ‘mungkin’ bantuan kewangan – dalam bentuk bantuan tunai tambahan – atau insentif rakyat; pengumuman ekonomi seperti penurunan cukai, subsidi atau inisiatif perumahan.
Namun, tanpa info lanjut, ini hanya spekulasi dan akan terjawab selepas pengumuman rasmi dibuat Anwar atau pemimpin negara yang lain.


